Kecantikan Isteri Solehah

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar ra. Rasulallah SAW, bersabda, "Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang soleh.." Dalam sebuah hadis yang lain
Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?" Itulah isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya." (HR: Ibnu Majah)
Inilah kecantikan sebagai seorang isteri yang soleh. Ketaatan dan kepatuhan itulah membawa kepada keikhlasan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak suami. Kepatuhan dan ketaatan inilah juga yang memberi kebahagiaan kepada hati suami dan akhirnya isteri inilah satu-satunya selain Allah yang segar di jiwanya.

Khamis, 18 Ogos 2011

Mendidik Anak Kenal Allah


Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan 'Allah" dan "Lailaha illa Allah", para ibu dan bapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuh iman dan keyakinan anak itu kepada Allah. Anak yang masih baru mengenal dunia itu amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan.
Oleh kerana maklumat yang tersimpan dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibu dan bapa, mudah sahaja ditelan bulat-bulat. Oleh itu, tempoh inilah saat yang paling sesuai untuk memulakan 'pengajian' aqidah kepada anak-anak.
Jangan fikir anak-anak anda tidak mampu memahami soal akidah ini. Walau pun aqidah ini perkara abstrak, tidak boleh dilihat dan ditunjukkan melalui pancaindera, namun jika kena cara penceritaannya, anak-anak boleh memahaminya dengan mudah.
Usah dedahkan dahulu soal-soal falsafal yang terhimpun dalam kitab-kitab tauhid yang tebal-tebal itu. Cukuplah dengan mengaitkan iman kepada Allah itu dengan benda-benda yang dilalui dan dirasai oleh anak-anak itu seperti makanan, pokok-pokok, anggota badannya, dan seumpamanya.
Bahkan mengenali Allah ini tidak sukar untuk dilakukan dengan memulakan pada anggota badan sendiri. Misalnya, minta anak itu meletakkan telinga ke atas dada ibu atau ayah untuk merasai degupan jantung. Kemudian minta dia merasai jantungnya sendiri dengan tangan. Jelaskan bahawa jantung itu telah bergerak sejak dari dalam perut hingga mati. Jelaskan juga bahawa manusia tidak mampu untuk menggerakkannya jika tanpa kekuasaan Allah. Jika Allah mahu matikan seseorang, Allah boleh hentikan sahaja jantungnya.
Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, sejak anak itu mula mumayyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya ini tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.
Kemudian, ibu bapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna.
Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah tanda kasih Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati agar semakin dekat dirinya dengan Allah. Jika menonton, terjumpa atau bercerita tentang dengan mereka yang cacat, miskin, atau melarat, janganlah lupa untuk mengingatkan anak agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.
Fahamkan kepada mereka bahawa Allah kadang-kadang menjadikan manusia dan makhluk lain dengan beberapa kekurangan supaya manusia lain dapat bersyukur dengan kesempurnaan serta nikmat yang diberikan.
Setiap kali mengadap makanan, ibu bapa perlu sentiasa menyebut bahawa rezeki itu dari Allah. Jelaskan bahawa, walau pun makanan atau bahannya itu mungkin dibeli, namun hakikatnya ia datang dari Allah melalui pintu-pintu rezeki seperti kepandaian, kebolehan, pekerjaan yang baik dan gaji yang memuaskan.
Bandingkan dengan orang lain yang susah dan tidak ada makanan untuk dijadikan santapan. Cara ini insyaAllah mampu meningkatkan keyakinan tentang sifat Allah Yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Selain itu jangan lupa untuk meminta anak-anak agar mendalami rasa sayang dan kasih kepada Allah sebagaimana Allah mengasihi mereka.
Bila berkelapangan, bawa anak-anak beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok bermain, jangan lupa untuk sebutkan tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam yang sangat cantik. Sebutkan tentang kerdilnya manusia yang tak mampu untuk membuat makhluk seumpamanya walau pun sebesar semut. Kaitkan juga dengan hakikat bahawa makhluk-makhlik Allah itu termasuk pohon-pohon, batu, air, binatang dan tanah sentiasa berzikir kepada Allah dengan bunyi yang tidak didengari atau dalam bahasa yang difahami manusia.
Kemudian, paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Meneliti dan Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa yang sedang manusia lakukan.
Pendekatan ini amat penting untuk melahirkan sifat ihsan dalam diri anak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW tentang ihsan iaitu:
"Agar kamu menyembah Allah seolah-oleh engkau sedang melihatNya. Andaikata engkau tidak mampu melihatnya, maka yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau".
Sifat ihsan ini adalah teras dalam mengukuhkan aqidah anak-anak. Imam Al-Ghazali membawa satu kisah Sahel bin Abdullah Al-Tustari dalam kitab Ihya Ulumiddin.
Sahel berkata: Ketika aku berusia tiga tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku, Muhammad bin Siwar. Pada suatu hari, dia berkata kepada ku: Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikan engkau? Aku menjawab: Bagaimana aku berzikir kepadaNya? Muhammad bin Siwar menjawab: Sebutkan dalam hati mu ketika engkau berbalik-balik di tempat tidur tiga kali, tanpa engkau menggerakkan lidah mu: "Allahu ma'ani, Allah naazirun ilayya, Allah syaahidi" (Allah ada bersama-sama ku, Allah melihat kepadaku, Allah memerhatikanku).
Renungilah bagaimana Rasulullah mentarbiyah seorang anak kecil iaitu Abdullah bin Abbas r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi. Abdullah mengatakan bahawa:
"Pada satu hari aku menunggang bersama di belakang Nabi SAW. Lantas, Baginda bersabda: Wahai anak kecil! Aku akan mengajarimu beberapa pedoman: Peliharalah Allah, niscaya Dia akan memelihara mu. Peliharalah Allah nescaya Dia akan berada hampir denganmu. Jika kamu mahu meminta, maka mintalah daripada Allah. Jika kamu mahu mendapatkan pertolongan, dapatkanlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan ketetapan dari Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu melakukannya, melainkan dengan ketetapan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering."
Demikianlah contoh unggul tarbiyah rabbaniyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Paparan ini membuktikan bahawa pendidikan untuk memastikan anak-anak mengenal Allah amat penting untuk dimulakan sejak dari kanak-kanak. Dengan kesungguhan ibu bapa menerapkan aqidah yang sahih ini insyaallah dapat menjadikan anak-anak tegus mempertahankan aqidah walau pelbagai gelombang dugaan dan cubaan yang dihadapinya.
Kita sama-sama doakan agar anak-anak kita hampir dengan ALLAH sejak dari kecil lagi.

Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur. 

Cinta Allah Sumber Kekuatan Luar Biasa


Makanan roh itu ialah mengenal dan cinta kepada Allah. Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kepada selain Allah, maka binasalah roh itu. Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi roh. Badan itu akan hancur, tetapi roh tetap hidup.
Roh sepatutnya menjaga dan mengawasi semua anggota badan. Pastikan setiap inci pergerakannya selari dengan kehendak Allah. Anggota tidak akan bertindak selagi kita (roh) tidak mengarahkannya. Saya lebih sesuai menterjemahkan roh sebagai hati kerana hatilah memainkan peranan yang terpenting dalam melahir dan menzahirkan seni praktikal.
Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya Ulumuddin bahawa hati itulah raja yang segala anggota taat dan patuh kepadanya.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nukman ibn Basyir r.a. sabda Rasulullah s.a.w., " Di dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila baiknya ia, maka baiklah jasad itu. Apabila jahat, nescaya jahatlah seluruh jasad itu. Ia adalah hati."
Demikian itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh membaikkan hati dan memelihara juga memuliharanya daripada segala bintik-bintik noda yang menghitamkan hati.
Keperluan badan manusia terbahagi kepada tiga sahaja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tetapi kemahuan badan yang ada pada seseorang untuk mendapatkan tiga perkara ini cenderung menyalahi akal dan melampaui batasan. Oleh itu, kemahuan ini perlulah disekat dan dibatasi dengan undang-undang syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Manusia pasti terpesona dan terpikat melihat warna-warni pelangi yang menghiasi dunia, tergodanya mereka dengan 'syurga' dunia yang menghancur dan membinasakan diri mereka akhirnya. Melainkan insan-insan bertuah yang diselamatkan Allah. Mereka berhati-hati supaya tidak tergoda. Pintalah keselamatan daripada Allah. Rayulah agar Dia memelihara kita daripada segala kejahatan, mungkin datang dari lubuk hati, atau nafsu, Syaitan, juga Syaitan manusia.
Usaha tidak terhenti di situ, kita mestilah berusaha memelihara hati dan diri daripada perbuatan haram yang akan mengotorkan hati dan langsung akan menjarakkan hubungan kita dengan Tuhan. Tuhanlah matlamat kita. Ke manakah kita sehari-hari? Menuju ke mana? Kalau bukan kembali kepada Pencipta, Allah al-Khaliq.
Manusia yang tidak menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupannya akan menemui kegagalan dan kemuflisan dalam merencah rencah-rencah delima hidup ini.
Cinta kepada Allah merupakan sumber dan benteng kekuatan yang akan menghalang kita daripada terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Untuk menguatkan agar cinta kita tidak tergugat, perlulah ia dibajai dengan sifat-sifat yang mulia, terutamanya sifat zuhud.
Bagi membolehkan kita sampai ke matlamat yang sebenar demi kebahagian di dunia dan akhirat, perlulah kita memandang dunia ini dengan pandangan yang betul. Kenapa perlu berzuhud dengan dunia?
Zuhud
Zuhud dalam ertikata melihat dunia ini tidak lebih dari kepentingan Akhirat. Mencari hasil dunia jangan sampai lagha kepada Tuhan. Saya lebih sesuai dengan makna begini.
Kekayaan tidak menghitamkan keimanan selagi kayanya kita ini semata-mata kerana Allah Ta'ala. Namun sekiranya harta itu membuatkan kira semakin leka akan hakikat diri, sesungguhnya kekayaan itu bakal menghancurkan pemiliknya seperti anai-anai menghancurkan kayu.
Firman Allah, "Kekayaan telah melalaikanmu," ayat pertama dalam surah al-Takasur ini jelas larangan kekayaan yang menyebabkan kita lagha dan lalai kepada Allah. Adapun kekayaan yang dipentaskan oleh keimanan kepada Allah pasti akan menghasilkan hasil yang lumayan untuk ummah. Insya-Allah!
Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.h. menyimpulkan tipu daya dunia kepada penduduknya dengan pelbagai cara. Antaranya:
1. Ia berpura-pura kekal bersama kita. Hakikatnya ia sentiasa berlalu saat demi saat sambil melambaikan tangan mengatakan, " Selamat tinggal," kepada kita. Seperti bayang-bayang yang tampaknya tetap tetapi sebenarnya bergerak.
2. Dunia ini berpusing-pusing seperti ahli sihir yang menawan tetapi jahat. Dia berpura-pura cinta kepada kita, kemudian dia kembali kepada musuh dan meninggalkan kita yang kesedihan dan berputus asa.
Inilah wajah dunia.
Seorang guru telah menasihati Ibrahim ibn Adham dengan mengemukakan beberapa nasihat iaitu:
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makannya janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat daripadanya.
3. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya.
4. Orang yang melupakan hal kematiannya janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
5. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
6. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredaan Allah kepadanya.
Demikianlah nasihat gurunya kepadanya.
Tafakur
Senjata seterusnya untuk membentengi Iman dan menyuburkan cinta kita kepada Allah Taala ialah tafakur.
Merenung memikirkan ciptaan Allah. Ambil sejenak waktu, renunglah bahawa dahulunya dunia ini tidak wujud dan di masa akan datang ia akan sirna lenyap sama sekali! Maka nampaklah betapa dunia ini berupa tipuan belaka. Tiada kalimah yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan betapa ruginya mereka yang menganggap dunia ini tempat kediamannya yang tetap dan kekal. Membuat rancangan untuk sepuluh tahun mendatang, sedangkan mungkin dia akan berada di dalam kubur dalam tempoh sepuluh hari sahaja lagi! Siapa tahu?
Siapa yang membiarkan dirinya ditenggelamkan lautan keindahan dunia fana ini, dihempas ombak nafsu yang menggila, suatu saat nanti tangannya akan menyumbatkan makanan ke dalam mulutnya dan kemudian memuntahkan semula! Kelazatannya hilang sirna. Bagai helang yang hilang sayapnya.
Harta semakin betimbun. Jiwa semakin rimas mencecah usia tua. Sayangnya untuk meninggalkan kemewahan yang selama ini dikecapi. Semakin pedih dan sedihlah hendak meninggalkan semua itu. Kelak tidak berharga serimis pun!
Kepedihan meninggalkan dunia, di Akhirat juga akan terasa pedihnya. Kebahagiaan saat meninggalkan dunia, di Akhirat pun ada bahagia menanti. Insya-Allah.
Janganlah teragak-agak lagi untuk menjernihkan hati. Baikilah hubungan kita dengan Allah. Usah dicemari lagi, semoga Dia menjaga hati juga jiwa juga roh kita kesemuanya.
(Rujukan: Al-Hub ila Allah karangan Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi , Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib)

Menuju Wawasan

Menuju Wawasan