Kecantikan Isteri Solehah

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar ra. Rasulallah SAW, bersabda, "Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang soleh.." Dalam sebuah hadis yang lain
Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?" Itulah isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya." (HR: Ibnu Majah)
Inilah kecantikan sebagai seorang isteri yang soleh. Ketaatan dan kepatuhan itulah membawa kepada keikhlasan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak suami. Kepatuhan dan ketaatan inilah juga yang memberi kebahagiaan kepada hati suami dan akhirnya isteri inilah satu-satunya selain Allah yang segar di jiwanya.

Isnin, 22 Februari 2010

KeredhoanMu

Ya Allah Ya Tuhanku
HambaMu merindukan
Rahmat kasih sayangMu
Dan jua keredhoanMu dalam hidupku

Meskipun ku ulangi dosa noda
Yang menjanjikan azab sengsara
Namun ke sedari
KeampunanMu tidak bertepi

Ku akui diri ini
Hamba yang mungkir
Pada janji-janji
Jadikanlah taubat ini
Yang sejati PadaMu Ilahi

Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku
Ya Allah redhokanlah kehidupanku
Moga terhapus penghijab kalbu
Antara Kau dan aku

Tuhan ku zalimi diri ini
Andai Kau tak ampuni dan rahmati
Alangkah ruginya diri

Tuhan jangan Kau palingkan hati ini
setelah Kau beri hidayah
Sesungguhnya Kau Maha Pengasih

Rabu, 17 Februari 2010

Menghargailah dari Dihargai

Semasa zaman kanak-kanak,

Menghargai ibu dan ayah yang telah melahirkan, membesarkan, mendidik, memberikan pakaian, makan-minum, tempat tinggal, sekolah, duit belanja, permainan, dan banyak lagi.

Menghargai adik-beradik yang sama-sama di ajak main, along, angah, uda, alang, ateh, tam, acik, anjang, busu, yang teman tengok tv, yang teman keluar jalan-jalan, dan layan jelah..

Menghargai saudara-mara yang ibarat mengganti keluarga dimana-mana sahaja kita berada.

Menghargai cikgu-cikgu yang telah mengajar, yang marah didalam kelas, yang senyum selalu ketika mengajar, yang memberi hadiah bila berjaya, yang menanda buku sekolah, dan macam-macam lagi yang cikgu buat.

Menghargai kawan-kawan sekolah yang baik atau nakal, yang duduk disebelah kiri kanan depan belakang, yang berjalan bersama-sama, yang makan di kantin bersama-sama, yang mengusik, yang belajar, dan banyak lagi kerenah.

Semasa zaman remaja,

Menghargai sahabat-sahabat yang mula bersama-sama mengorak langkah, membuat sesuatu yang baru, yang mengajak ke masjid, yang mengejutkan ketika tidur dalam kuliah, yang menasihati dan menegur, dan segala-galanya yang mereka lakukan.

Menghargai orang sekeliling yang banyak membantu dalam kehidupan seharian, yang memberikan senyuman sedekah, yang menguruskan urusan-urusan penting dan lain-lain lagi.

Semasa zaman dewasa,

Menghargai keluarga sendiri, suami, isteri, anak-anak, yang menjadi penawar suka dan duka, yang menceriakan kehidupan, yang mendorong bersama-sama membina keluarga bahagia, dan semuanya.

Menghargai jiran-jiran yang sedia ketika susah atau senang, walau tidak semuanya peramah dan mesra, yang menziarahi ketika sakit dan lain-lain lagi.

Dari semasa ke semasa hingga ke akhir hayat,

Menghargai cinta yang telah Allah SWT limpahkan,
Menghargai kasih-sayang yang telah Nabi Muhammad SAW curahkan,

Kesimpulan,

Adakah kita telah dan selalu menghargai daripada rasa ingin dihargai? Kenapa kali ini saya mempersoalkan tentang perkataan “menghargai” ini? Sahabat pembaca, nilai menghargai lebih mulia dari dihargai. Dihargai sudah tentulah daripada kebaikan atau keperibadian diri sendiri yang dikagumi seseorang. Orang akan menghargai kita yang telah berbuat baik kepadanya. Orang akan menghargai kita yang telah membantunya. Orang akan menghargai kita yang telah menegurnya. Dan macam-macam lagi contoh apabila kita dihargai.

Namun sejauh manakah kita memanjatkan rasa syukur apabila kita dihargai? Berbeza apabila kita cuba menghargai sesuatu. Orang baik kita hargai. Orang nakal kita hargai. Nakal tidak bermakna kita perlu banggakan sikapnya, tetapi kita menegur dan menasihati dengan sikap berlembut dan bersopan. Kadang-kadang kita tidak sedar akan orang-orang yang dikurniakan Allah untuk berada dekat dengan kita, tetapi kita menjauhinya atau menghinanya apabila kita menemui kelemahan dan kekurangannya. Mungkin ini adalah sebahagian ujian dari Allah untuk kita dalam menghargai setiap pemberianNya.

Dan yang paling besar dan tidak ternilai apabila kita menghargai Allah SWT. Menghargai dengan mengenalinya dengan lebih dekat, mencintaiNya setiap saat bernafas, mengingatiNya ketika susah dan senang, mencarinya tanpa tempat dan masa, dan mengabdikanNya erat dan utuh didalam jiwa. Dan menghargai insan bernama Nabi Muhammad SAW yang berakhlak Al-Quran kalam Allah. Yang sentiasa mendahulukan umatnya walaupun pada saat akhir nafasnya menghembus kedunia. Sahabat pembaca, masih jelaskah kamu dengan erti menghargai ini? Sama-samalah kita bermuhasabah akan sifat-sifat kita yang kurang, dan berubahlah kepada yang lebih menghargai. [dan Allah Maha Mengetahui].

Ahad, 14 Februari 2010

Menyelami Hati Wanita

Assalamualaikum, dikala ini inginku sekali menerobos ke dalam fitrah seorang yang bergelar wanita. Kerana diriku yang juga seorang wanita, ingin ku berkongsi sedikit tentang rahsia hati wanita. Mudah-mudahan…

Hadis Nabi S.A.W:
“Aku melihat ke neraka, maka aku dapatkan penghuni terbanyak adalah wanita.”

Saya bukan bererti menyudutkan wanita, bukan membuang muka dari posisi mereka, atau meremehkan peranan mereka dalam kehidupan. Wanitalah yang dikhabarkan Rasulullah bahawa syurga berada di bawah telapak kakinya.

Akan tetapi siapakah wanita yang akan mendapatkan martabat itu? Tentu adalah wanita yang menjaga kesucian, kamaluan, menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan menahan lidahnya tidak menyakiti orang. Itulah wanita yang terpelihara, yang suci dan hatinya tulus.

Sekalipun hanya sekilas dia tidak membiarkan lelaki lain memasuki hati itu selain suami. Ialah wanita yang menyediakan hatinya sebagai ladang subur budi pekerti mulia, tidak menjerumuskan hati jatuh kedalam dosa, dan tidak terpengaruh dengan hawa nafsu. Wanita yang berprinsip mengasuh suami sebagai ibadah dan mencintai suami sebagai anak tangga menuju syurga.

Inilah jenis wanita yang tidak memerlukan kemewahan agar hati suaminya terasa lega. Wanita yang tidak bersifat ego pada dirinya dan tidak pernah mengeluh kerana lelah. Wanita yang menyimpan rahsia suami dan rumah tangga, supaya tidak menjadi buah bibir dan jangan sampai rahsia peribadinya menjadi umpatan orang.

Bersih dan suci merupakan dua nilai moral yang Islami. Apabila hati wanita bersifat dengan sifat itu nescaya dia akan beradu suci dengan malaikat. Namun kita tidak menghendaki wanita menjadi malaikat. Kita hanya menghendaki pelaksanaan tugas sucinya dalam hidup. Menjadi ibu yang suci, yang melahirkan anak cucu yang soleh dan keberadaannya di rumah tangga menyayangi suami dan anak-anak.

Adapun wanita yang melupakan kewajipan suci, dan yang tersisa ada dua bola mata yang melihat pada kemewahan, lidah yang suka merepek dengan keluhan-keluhan, menandakan dia sudah hilang kelembutan hati dan hatinya sudah berubah menjadi batu atau yang lebih keras darinya. Dan janganlah diriku dan dirimu menjadi salah seorang daripada wanita seperti ini.

Hati wanita penuh misteri dan mengandungi banyak rahsia. Ia laksana lautan dalam sehingga susah diselami kaum lelaki. Menerobos kedalam hati wanita memerlukan modal ketelitian, kesungguhan, dan pengorbanan. Namun bukan itu yang menjadi kesimpulan perkongsian saya kali ini. Tetapi, tanyalah pada diri sendiri terutama seorang suami yang beristeri, adakah hati isterimu telah diselami, diperiksa, di ubati, dan di didik dengan nilai-nilai keperibadian isteri solehah.

Sekadar perkongsian ringkas yang tidak bernilai ayatnya tetapi bernilai pengajaran yang diambil.

Isnin, 1 Februari 2010

Hati Manusia


Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT,

Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT,

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT,

Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang kecuali berlindung dengan Allah SWT,

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qada dan qadarNya,

Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali dengan menanamkan kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.

Menuju Wawasan

Menuju Wawasan