Kecantikan Isteri Solehah

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar ra. Rasulallah SAW, bersabda, "Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang soleh.." Dalam sebuah hadis yang lain
Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?" Itulah isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya." (HR: Ibnu Majah)
Inilah kecantikan sebagai seorang isteri yang soleh. Ketaatan dan kepatuhan itulah membawa kepada keikhlasan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak suami. Kepatuhan dan ketaatan inilah juga yang memberi kebahagiaan kepada hati suami dan akhirnya isteri inilah satu-satunya selain Allah yang segar di jiwanya.

Rabu, 19 Ogos 2009

Hadiah dari Allah

Untuk sahabat2 muslimat dan muslimin GEN 6, dan juga akhi2 dan ukhti2 yang banyak membimbing kami, tidak dilupa adik2 GEN 7, GEN 8, dan seterusnya. Moga ukhuwwah ini akan dikira sebagai timbangan perhisaban oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

Usrah satu permulaan
Pertemuan memanggil perjanjian
Jiwa dilentur jasad digempur
Tanpa diduga tanpa disangka
Apabila kasih mula terbina
Yang malu jadi biasa
Mengapa perlu percaya?
Dia siapa hingga segalanya
Menjadi perkongsian…
Hanya insan yang dipilihNya
Akan dapat merasai sebuah
Hadiah teristimewa…
Apakah ia?
Ukhuwwah Fillah Abadan Abada…





Hidup ini adakalanya mengelirukan kita. Jika semalam kita pernah ketawa bersama, hari ini kita bisu tanpa kata. Jika semalam kita bertegur sapa, hari ini bagai tiada dimata. Namun apa jua yang terjadi kita harus tersenyum kerana kita pernah mengukir sejuta kenangan bersama-sama. Dan kenangan itu tetap kekal dalam ingatan kita untuk selamanya…

Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.


Pernahkah kita terlintas di fikiran untuk mempunyai satu hubungan kekeluargaan yang besar, bahagia, dan kasih sayang yang dirasai ikhlas lahir dari hati hanya untuk Allah. Apa perbezaan antara apa yang kita lalui dahulu dengan hadiah yang berada didepan matamu. DIA sedang memberikanmu kebahagiaan. Kita adalah sekeluarga. Manisnya hubungan kekeluargaan ini mustahil dapat ditandingi jika bukan kasih dan cinta semata-mata untuk Allah. Inilah nikmat Allah. Rumahku syurgaku. Keluargaku penawarku. Moga kekeluargaan ini kekal dan abadi hingga didalam syurga kelak.

Dalam diari seorang pejuang, tiada masalah yang merumitkan, ujian yang melemahkan, dugaan yang menyusahkan, bahkan itu semua dijadikan batu loncatan untuk lebih hebat. Mereka tepu dengan dugaan. Cuma sesekali air mata merembes menerjah pipi, lambang kekerdilan kudrat hamba. Berdepan dengan belaian Pencipta, sebagi tanda ingatanNya, semoga kita terus tabah dalam perjuangan yang bakal kita lalui meskipun berbeza dan tidak bersama-sama.

Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari ( Saidina Ali). Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

p/s: Tahniah kepada sahabat2 yang telah grad dan semoga berjaya dengan lebih baik untuk sahabat2 yang akan grad nanti. Insya allah.. Asif ana tidak punya banyak gambar sahabat2 untuk dimasukkan dalam blog. Harap kita dapat sama2 berkongsi gambar, juga semaikan dalam memori kemanisan ukhuwwah ini. Mana yang kurang ana pohon kemaafan. Tidak lupa juga, ana ucapkan Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak. Tingkatkanlah ibadah kepadaNya dengan seikhlas hati dan moga sahabat2 terpilih dalam golongan yang menjumpai malam Lailatul Qadar nanti.

Jumaat, 24 Julai 2009

GOOD JOB PMIUTM!


Pihak Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (Pro-M UTM) menyokong penuh tindakan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dalam membanteras gejala bonceng yang semakin berleluasa dikalangan mahasiswa UTM.

Badan Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng yang ditubuhkan oleh PMIUTM diharapkan dapat membantu pihak universiti menaikkan taraf kematangan sosial dikalangan mahasiswa UTM. Pro-M UTM percaya bahawa tindakan seperti ini akan mendatangkan kebaikan kepada mahasiswa dan juga universiti. Oleh itu, pihak Pro-M UTM menyatakan kesediaan untuk membantu PMIUTM dalam usaha murni ini.

Pro-M UTM turut menyeru mahasiswa-mahasiswa, persatuan-persatuan, JKM-JKM dan kelab-kelab di UTM agar bersama-sama membantu dalam menjayakan proposal rasmi badan tersebut. Semoga usaha ini diberkati ALLAH biarpun dipandang sebagai 'kerja bodoh' di mata manusia-manusia yang kurang faham.

Memetik firman ALLAH dalam surah al-Anfal ayat 22:"Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan ALLAH ialah mereka yang tuli & bisu (tidak mendengar dan memahami kebenaran), iaitu orang-orang yang tidak mengerti."

Menurut pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Azim Fahada, beliau setakat ini telah bertemu dengan Pengarah Keselamatan En Halim untuk mencerap idea bagi pembangunan sistem keselamatan UTM dan sekaligus membawa perubahan dalam isu kerosakan sosial UTM.

Dalam perkembangan yang lain, Pro Mahasiswa telah membuat satu pertemuan bagi mencapai kata sepakat mengenai isu ini dan bercadang untuk memberi sumbangan tenaga dalam siri-siri kempen yang akan dijalankan pada masa akan datang.

Tanyalah diri anda sebagai mahasiswa, di manakah anda dalam isu ini? Student..Power!!!!



NYATAKAN SOKONGAN ANDA DENGAN MELETAK LOGO INI DI BLOG ANDA!!! INILAH MASANYA MAHASISWA BERTINDAK MENYATAKAN KEBENARAN!!!

Syurga Cinta Manusia



Jodoh Dari Syaitan:
Lelaki dan perempuan yang berkenalan, jatuh cinta, menjalinkan hubungan sehingga terlanjur ke jurang maksiat dan melahirkan anak.

Jodoh Dari Jin:
Lelaki dan perempuan yang berkenalan,jatuh cinta, menjalinkan hubungan bukan muhrim, dan kemudian berkahwin.
Jodoh Dari Allah:
1) Lelaki dan perempuan yang terpandang pada kali pertama secara tidak sengaja, kemudian masing-masing merasai fitrah berumahtangga, menyatukan secara sah dengan ikatan perkahwinan sebelum hubungan lain, dan kekal bahagia sehingga ke anak cucu.
2) Lelaki dan perempuan yang membina masjid tanpa mengenali peribadi masing-masing, dan menerima dengan sepenuh hati kelebihan dan kekurangan pasangan, dan kekal bahagia sehingga ke anak cucu.


Seorang isteri boleh menjadi bidadari suaminya didalam syurga, antaranya dengan melaksanakan 5 perkara:
1) Melaksanakan solat fardhu 5 waktu dan perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan laranganNya.
2) Menutup aurat sebagai seorang muslimah yang disarankan Islam samada didalam rumah mahupun diluar rumah.

3) Melakukan tanggungjawab sebagai seorang khalifah dimuka bumi dengan menyebarkan dakwah walaupun hanya sekecil perkara demi membangunkan martabat Islam.

4) Menghormati kedua ibu dan bapa, menjaganya dengan keikhlasan kerana Allah.

5) Mentaati suami dengan mengikut kehendaknya pada perkara yang dibenarkan syarak, menjaga makan minumnya, membasuh pakaiannya, mewangikan tempat tidurnya, memasak yang mengenyangkan perutnya, melahirkan dan mendidik anak-anaknya, dan mengajak suami bersama-sama menggapai cinta Allah agar dapat ditemukan di syurga kelak.


Syurga seorang isteri adalah pada suaminya.



Perkongsian ringkas usrah gabungan bersama muslimat kawasan.

Jumaat, 3 Julai 2009

Bermula Langkah Yang Jauh...

Assalamualaikum, alhamdulillah ana sempat lagi untuk mencoretkan cerita-cerita baru bagi menyegarkan lagi suasana blog yang tidak seberapa ini. Terlebih dahulu ana memohon maaf kerana mendiamkan diri buat sementara waktu. Ana bersyukur kerana masih ada sahabat-sahabat yang sudi menziarahi dan terus memberi sokongan pada ana. Bermulalah kisah hidup ana di dunia baru sebagai mahasiswa UTM Skudai. Ada hikmah disebalik apa yang terjadi barangkali maka ana kuburkan hasrat untuk ke UMK seperti mana perancangan sebelum ini. Memang tidak dapat dinafikan kekecewaan disanubari tapi apa yang didepan mata mesti diteruskan. Perjalanan bergelar mahasiswa baru ini seperti yang dibayangkan terdahulu tidaklah begitu mudah. Kalau dahulu mahasiswa baru akan sentiasa diberi tunjuk ajar dalam melaksanakan beberapa proses tertentu, namun keaadaan ini berbeza sekali apabila mula menempuh pengajian dalam sarjana muda ini.

Peruntukan masa seminggu dalam minggu haluan siswa ini benar-benar memberi tekanan pada ana. Bukanlah kerana aktiviti mhs nya tapi kerana proses-proses pendaftaran subjek yang agak sukar dan mengelirukan untuk di atur. Di sini ana terpaksa mencari sendiri bangunan fakulti yang terletak agak jauh dari kolej dan perlu melewati beberapa blok-blok lain untuk tiba di fakulti. Semakin tertekan apabila banyak prosedur yang perlu dilakukan untuk ana dan pelajar-pelajar lain dalam membuat jadual kuliah sendiri. Banyak subjek-subjek yang akan tertindih waktunya dan mesti teliti dalam menentukan seksyen agar tidak mengganggu subjek-subjek lain. Pengalaman pertama ana apabila ana tersalah mendaftar subjek yang perlu di ambil. Sudahlah begitu ana pula dimarahi PA tanpa dia mahu mendengar sebarang alasan. Akur sahaja dengan caranya, ana hanya tersenyum mengaku kesalahan. Mudah-mudahan ini menjadi pengajaran buat ana. Memujuk hati sendiri untuk ketenangan.

Namun Allah sangat mengasihi hambaNya. Dalam jadual perancangan UTM, sebarang pembetulan pendaftaran hanya boleh dilakukan pada minggu seterusnya. Ana khuatir jika minggu tersebut akan lagi menyukarkan keadaan kerana perlu menghadiri kuliah minggu pertama. Pertolongan Allah, untuk hamba yang yakin padaNya, ana dipanggil untuk segera mengubah subjek yang tersalah tadi tanpa perlukan sebarang proses yang rumit. Alhamdulillah akhirnya selesai dan ana sangatlah senang hati. Cuma masih ada beberapa kerumitan tentang jadual kuliah yang perlu dibincangkan dengan PA sebelum mula kuliah sepenuhnya. Moga Allah permudahkan…

Ana masih teringat ketika program Grab Your Future (GYF), seorang sahabat yang membentangkan perancangannya selepas grad diploma. Dan jika dia menyambung pelajaran, katanya dia mahu berehat sementara dalam aktiviti aktivis ini. Perancangannya itu mendapat sedikit tentangan akibat dari perbezaan pendapat akhi dan ukhti yang berpengalaman. Mulanya ana tidak mengagak itu akan ana lakukan jika ana dapat sambung belajar, tetapi terjadi sebaliknya. Hari pertama pendaftaran kolej, ana dan sahabat-sahabat lain mendapat mesej untuk perjumpaan pertama. Ana fikir hanya untuk taaruf biasa, tetapi rupanya diberikan tugas yang istimewa. Belum sempat meninjau keadaan disekitar sudah mendapat amanah yang perlu dilakukan. Insya Allah akhi dan ukhti, ana dan sahabat-sahabat akan cuba sedaya mungkin. Ini memberi kesedaran panjang pada ana, perjuangan itu tidak akan terhenti sehinggalah roh bercerai dari jasadnya. Peringatan untuk diri ana sendiri…

Untuk perkembangan ana dan sahabat-sahabat muslimat disini, kami menawarkan diri untuk kehadapan. Tidak pernah pun merancang, tapi kami lakukan. Insya Allah kami akan cuba untuk jadi muslimat yang proAktif bagi membuktikan golongan seperti panggilan manusia, ustazah-ustazah ini, mampu lakukan yang lebih unik dari prasangka sebelumnya. Boleh ke kami join futsal? Horse riding? Bola jaring? Ataupun JKM kolej? Mungkin keadaan kampus yang terlalu luas ini menyebabkan kami bertukar kendiri. Perubahan perlu dilakukan dalam menangani saingan-saingan hebat disini. Kami pun sangat dekat dengan mantan kolej dan mpp dahulu. Mereka memperjuangkan jawatan yang sama barangkali. Nak cari pengaruh bukan mudah. Jadi kami mesti kehadapan juga. Walaupun tidak ramai, tapi perjuangan bersama sahabat-sahabat dahulu menjadi pengalaman yang berguna untuk kami teguhkan diri dalam cabaran mendatang. Moga perubahan ini tidak akan terpesong dari landasan sebenarnya, kerana kami masih mahu memperjuangkan PMI disini. Bersama akhi-akhi dan ukhti-ukhti yang banyak asam garamnya.

Panjang berceloteh, tidak muat nak cerita semua. Ana berhenti setakat ini dahulu, mungkin ada sedikit pesanan yang ana nak kongsikan bersama sahabat-sahabat. Walaupun dimana kita berada, dunia yang berbeza, ujian yang berbeza, pelajaran yang berbeza, program yang berbeza, perlu diingati, kesenangan dan kegembiraan tidak mudah dicapai jika tidak melalui keperitan dahulu. Namun keperitan itu sebenarnya ukuran keimanan yang kadang naik dan turun tanpa kita sedari. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, tekadkan 5 matlamat di jiwa yang murni dengan keikhlasan dan tawadhuk padaNya. Sebaik-baik kenangan adalah ukhwah yang kita pernah lalui keranaNya, sebagai penawar ketika suka dan duka. Wallahu a’lam. Ma’as salamah…

Khamis, 18 Jun 2009

Konsert Antara Dunia '09

PERTEMUAN 4 GERGASI NASYID (M'SIA - INDONESIA)
dalam
KONSERT ANTARA DUNIA (KAD '09)

menampilkan

Rabbani, Raihan,
Hijjaz & Shoutul Harokah

anjuran
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
&
Rabbani Production (M) Sdn Bhd

1 OGOS 2009
STADIUM MELAWATI, SHAH ALAM
7-11 p.m

Maklumat Tiket VIP : RM 50MAHASISWA/WI & DEWASA : RM 10
KANAK-KANAK : RM 5
PAKEJ KELUARGA (2 VIP + 4 KANAK-KANAK) : RM 100

Untuk tempahan & pertanyaan
ANIE : 013-3796023
QAHHAR : 013-6288614
DAYANG : 01320426

untuk maklumat lanjut
http://gamisconcert.blogspot.com/

Jom datang beramai-ramai!!! '
Menyemarak Kebangkitan, Meneraju Ummah'

Ahad, 12 April 2009

Nur Syahadah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Tika terbuka hari cahaya yang cerah
Bersaksikan setiap makhluk ciptaanMu, di rumahMu, apa yang telah kami lihatkan, sebagaimana bukti yang telah tertulis oleh dua malaikatMu, kami bersama mereka dalam janji mereka untuk kebangkitan agamaMu.


Menerangi hatimu mulus terbias di wajah
Ketika bila mereka tunduk membisu, bicara yang hadir dari bibir kelu menandakan kekerdilan diri, wajah yang tadi penuh keyakinan membukam kesedihan, kekecewaan, yang jelas menipu jiwamu sendiri, bermula mereka dalam rintihan, siapakah aku yang sebenarnya, yang sepatutnya telah lama sedar akan kejahilan diriku, dimana tahap kebenaran keimananku kepadaMu selama aku menggunakan roh dariMu, dimana letak tahap kesyukuranku terhadap nikmatMu, selama aku masih kekal dalam jasad pinjamanMu, dan dimana tahap kesanggupanku dalam menyerahkan seluruh jiwa ragaku hanya untuk kepentinganMu.


Kau sambut dengan redha hadirnya hidayah
Lantas hati-hati kami membuahkan rasa kasih dan cinta kepadaMu, kami yang juga mengalami sepertimu, yang lebih jahil dan hina darimu, tak kan berdiam diri, jikalau lah mereka tahu bahawa mereka sangat-sangatlah berharga, mereka adalah permata yang sukar ditemui dalam segenap sejuta manusia, yang telah di takdirkan dalam perjalanan mereka untuk meneroka dan mengharungi sebenar-benar ujian keimananmu kepadaNya, kita sedekat-dekat saudara di dunia yang bertunjangkan aqidah yang sama, fikrah yang sama, janjilah wahai adikku, bahawa engkau akan terus dan teguh dalam memperjuangkan kehendak hatimu, yang membuak-buak demi kepentinganNya.

Nekad pendirian terungkai kalimah
Ya Allah… tunjukkanlah aku jalan yang benar, Izinkan aku melalui lorong-lorong keperitan yang pernah dirasai oleh kekasihMu Muhammad, Tegarkan aku untuk terus menggapai syurgaMu, Calitkan aku dengan calar-calar yang dirasai Muhammad, agar aku benar-benar menghayati betapa sakitnya Muhammad, dalam menjaga kepentinganMu, Tanamkanlah dalam jiwaku sifat-sifat mahmudah, Tetapkanlah, hati-hati kami Ya Allah, La Ilaha Illa Allah, Muhammad Rasul Allah!!!


Nur Syahadah menyinar kalbu
Murni seharum namamu
Hadirnya di celahan kekalutan kalbumu itu

Nur Syahadah telah tertulis
Pada waktu dan juga takdir
Di antara seribu engkau yang terpilih

Sejernih embun pagi sebersih dirimu

Seperti baru merasakan detik-detik kelahiranmu, engkau bangun dengan jiwa yang murni, semalam tanpa engkau sedari, Dia titipkan cahaya yang indah untukmu, hanya engkau sahaja yang mendapatnya, lalu engkau jagalah cahaya itu agar tidak padam.


Engkau dicemari walaupun sebutir debu
Jikapun sekali ia terpadam, lekas-lekaslah hidupkan semula dengan keinsafan, kerna itu menandakan engkau telah mungkir padaNya, engkau lupakanNya, walaupun tanpa engkau sedari, kerana apabila engkau nekad untuk menyambung mata-mata rantai perjuangan Nabi Muhammad SAW, nekad membawa risalah dakwah demi kepentinganNya, maka Dia akan mengujimu, mengujimu sejauh mana keikhlasanmu dan kecintaanmu kepadaNya, bukan hanya bicara biasa, tapi mesti dengan bukti setiap peri laku amal ibadahmu untukNya.

Kekallah oh dirimu didalam rahmatNya
Namun janganlah engkau gentar wahai adikku, yakinlah, yakinlah, yakinlah, Allah bersamamu, Muhammad mendoakanmu kepada Allah agar kamu sentiasa dalam rahmatNya.

Iringan doaku moga kau bahgia
Kami ini merupakan saudaramu, anggaplah kami ini saudaramu yang paling dikasihi, dihormati sesama lain, fikirkan satu di hatimu, bersaudara kerana cinta Allah, mengasihi kerana cinta Allah, menghormati kerana cinta Allah, dan kita semua adalah dalam perhatianNya, jangan engkau ungkit sifat-sifat mazmumah dalam persaudaraan ini, kerana engkau akan merosakkan pucuk permata yang sepatutnya engkau rasa bila berukhuwwah dalam jamaah. Ini janji Allah, yang engkau akan rasa tanpa disedari.

Akan ku bimbingmu sekadar yang ku termampu
Kami insan yang lemah, tapi kami akan berusaha bersamamu, selagi masa kami masih tersisa untukmu, Allah petunjuk segalanya.

Menyemai iman dan menuai taqwa
Biar tak bertemu di gerbang mahligai cinta
Cukuplah sekadar teman yang biasa

Kerana kami, mengharapkanmu untuk mendapat cinta Ilahi.

Wahai adikku yang ku sayang, dirimu permata dunia, kau penyeri keluarga jamaah, untuk mendapatkan sebuah al-saadah yang sebenar…

Selasa, 7 April 2009

Cerita tentang mereka...

…ani bangun!!! Ish terkejut ku dibuatnya. Adik ku yang panggilan manjanya ana, mengejutku dari tidur. Setiap pagi aku akan dikejutnya supaya bangun menjalankan tugas harianku. Em rasa susah jadinya bila dah balik ke kampung halaman ni. Semuanya jadi malas nak buat yela fikirkan qada’ tidur semasa di kampus. Hehe… seperti biasa apabila aku pulang ke kampung, tidak kira lah ada kakakku yang dari usm pulang, dan adikku dari uitm pulang, mesti lah aku yang jadi mangsanya. Nak kata pandai tu taklah, nak kata bagus pun tak jugak, tapi semuanya melepaskan kerja ni kat aku. Dah macam tradisi kat rumah, setiap orang ada tugas-tugas tersendiri. Adikku dengan basuh bajunya. Kakakku dengan kemas rumahnya. Dan aku? Em special… aku kerjanya masak jek. Jadi pagi-pagi lagi aku kena memerah otak nak masak apa. Bunyi macam senang tapi jadi susah bila nak fikirkan apa yang ayah akan makan… tak tahulah, ayah ni susah sangat nak makan. Bukan kata aku masak tak sedap..hehe..tapi pelik memang susah nak tengok ayah makan. Kadang-kadang tu sehari tak nampak ayah makan. Yang dimakannya, rokok dan kopi. Masya Allah, itu agaknya yang lagi sedap…

Nak diceritakan, aku sanggup ke kedai cari barang, yela sekali-sekala masak special untuk ayah mesti ayah makan. Kalau nasib baik, memang best kalau ayah balik kerja, dan terus makan. Tapi sedihnya bila ayah hanya minta, “mai secawan…” huhu… sebenarnya aku merisaukan kesihatan ayah. Kalau tak makan macam mana ayah nak kerja. Sudahlah paginya dengan di pejabat, petangnya dengan kerja “buat rumah orang” dan malamnya pula hilang…? …gi memancing, semata-mata nak cari rezeki untuk keluarga. Bila tengahari ayah tak makan, maka aku pun perahlah lagi otak ni, apa nak buat bila petang. Selalunya roti lah seleranya… tak pun kuih, donut ke… benda-benda macam ni barulah ayah selera makan. Tapi kalau ikutkan, aku tahu jek ayah suka makan apa… tapi problem jugak… ringkasnya ayah suka makan kering-kering. Mak pulak suka makan berkuah. Macam mana nak samakan kedua-dua masakan ni dalam satu masa? Nak jaga hati ayah, nak jugak jaga hati emak. Tapi nasiblah mak tak penah kisah aku masak apa. Janji mak pun gembira tengok ayah makan. Em betapa istimewanya jadi seorang ayah kan…

Ibuku pula senang orangnya. Bila hari minggu, mulalah aku tak masuk dapur. Alasannya nak rasa masakan mak…hehe… tapi memang disengajakan pun. Kadang-kadang bosan jugak makan masakan sendiri. Jadi suka tengok bila mak yang masak. Rasa semuanya jadi sedap. Sehari tu kat dapur, sampailah ke petang. Bila petang, ada-ada saja kerja yang nak dibuatnya, lipat baju, buat kuih, dan kadang-kadang gi mengemas pokok-pokok kat luar rumah. Kenapa agaknya mak ni macam tak penat jek. Paling best bila mak ajak jogging kat sekitar utm, em memang tak sangka stamina mak lebih hebat dari anak-anaknya. Berjoging tak berhenti sampailah ke bukit tempat takungan air di utm tu. Kami ni baru beberapa langkah dah tercungap-cungap, tapi mak maintain jek. Apa lagi, lain kali mak ajak jogging, kami kayuh basikal jek..hehe.. satu perkara bila anak-anaknya buat salah. Mak tak penah pukul, cuma mak membebel jek. Biasalah…kadang-kadang kami suka mak cakap banyak-banyak, kadang-kadang kami sakit telinga jugak. Tapi best lagi dari ayah. Mak marah kat mulut jek. Tapi ayah marah, cakap kuat sikit pun kami dah diam…seram... Kesimpulannya, dengan ayah kami takut jugaklah, dengan mak kami tak takut sikit…hehe… Em betapa istimewanya juga jadi mak ni…

Cerita punya cerita, dah masuk perenggan ketiga ni. Seronok sangat cerita pasal mak dan ayah. Em itulah mereka. Cerita tentang mereka pun tak kan muat blog ni. Banyak lagi yang aku nak cerita pasal mak dan ayah. Sementara mereka ada, aku nak kongsi, takut bila mereka dah takde, aku boleh baca balik cerita-cerita aku ni. Membuktikan kebenaran kewujudan mereka dalam hidupku. Dalam tak sedar, aku dah meningkat dewasa, atas jagaan dan didikan mereka, inilah aku yang sekarang. Apa agaknya yang boleh aku balas untuk mereka? Mungkin doa dari seorang anak yang solehah, merupakan hadiah yang paling-paling istimewa untuk mereka. Jadi izinkanlah aku untuk jadi anak solehahmu mak dan ayah… ‘ Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba lelakiMu dan anak hamba perempuanMu. Ubun-ubunku berada dalam kekuasaanMu. HukumMu berlaku padaku. Engkaulah yang adil dalam memberikan kegembiraan. Aku memohon kepadaMu, Ya Allah dengan setiap nama yang telah Engkau namakan Dirimu atau yang telah Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada seorang makhlukMu, atau Engkau sendiri yang mengetahui alam ghaibMu, agar Engkau jadikan Al-Quran yang mulia sebagai penawar hati ibu bapaku , cahaya ibu bapaku, penghapus kesusahan ibu bapaku, pelenyap kegundahan dan keresahan ibu bapaku. Sesungguhnya Engkau sahaja yang tahu sejauh mana kasihku untuk mereka, walaupun aku pudar dalam perlakuan di depan mata mereka. Letakkanlah mereka di sisiMu Ya Allah…’

Untuk mak dan ayah tersayang…

Cerita ini hanya rekaan semata-mata, untuk dikongsi bersama-sama, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang telah meninggal dunia…Moga Allah merahmati ke atas penulisnya…

Jumaat, 27 Mac 2009

Ceritera Ana...

Assalamualaikum, khaifahalukum? Apa Khabar? How are you?...... Kepada semua pengunjung blog ini, syukran kerana masih ada sejenak masa untuk menziarahi blog yang serba kekurangan ini. Alhamdulillah dalam kesibukan dengan persiapan projek-projek kelas, dapat jugak ana curi sedikit masa untuk bercerita dengan sahabat-sahabat. Tidak disangka dalam tahun akhir ini, makin banyak tugasan yang diberikan dan semuanya memang real. Real lah sebab projek-projek tu nak kene publish dalam dunia luar. Jadi kena lah buat bersungguh-sungguh dan tanpa error. Em… boleh ke ana dan member group ana siapkan? Dalam terkejar-kejar masa ni, ana sedar banyak perkara yang melanda. Daripada seorang yang suka tidur, dah tukar jadi burung hantu. Tapi burung hantu ni kerja overtime… Pagi pergi kelas, balik kelas bukak komputer buat kerja sampai malam, tengah malam, awal pagi, sebelum subuh, lepas subuh pun tak siap-siap lagi. Nampak kan? Apa yang ana tengah kejar-kejarkan ni adalah tugasan dunia. Yeke? Misi nak siapkan projek, supaya dapat lepas carry mark? Atau takut lecturer marah? Atau nak lepas final? Em macam-macam firasat kehendak manusia ni. Ana ni ibarat mesin untuk melaksanakan arahan-arahan itu saja. Tapi tidak perlulah ana mengeluh, mesin pun mesin lah janji ana mampu dengan kudrat yang diberikan Allah SWT.

Cuma ana nak berkongsi sedikit pandangan dengan sahabat-sahabat, apabila kita menilai balik setiap perkara yang kita lakukan. Adakah sempurna dan cukup syaratnya dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan tuntutan syariat Islam? Dimana kita meletakkan diri ini, hidup dan matiku kerana Allah SWT. Dalam kesibukan mengakhiri detik-detik tahun akhir ini, adakah kita masih lekat dengan cintaNya, solat kita terletak di tingkat 1 ke 2? Seringkali kita diuji dengan assignment yang dah siap taip, tiba-tiba laptop jammed. Pendrive masuk virus, folder kena hidden. MasyaAllah… em masa tu lah baru kita nak ingat Allah SWT. Bila ditimpa musibah, Astaghfirullahalazim… tapi bila assignment tu tiada masalah (success), keluar pula ungkapan “yes yes”. :-) Maaflah, ana berbicara secara umum, kadang-kala kita tidak sedar yang kesenangan dan kesusahan itu datangnya dari susunan Allah Maha Agung. Ia dizahirkan pada setiap individu, untuk menguji sejauh mana peringatan kita padaNya. Suka ana hendak berkongsi satu dari firman Allah SWT : “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam kedaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, agar kamu bersyukur.” (Al:Quran,An-Nahl:16:78). Jadi adakah kita bersyukur? Ana tanya pada diri ana, sahabat-sahabat tanya lah pada diri masing-masing. Jangan pula kita tujukan persoalan untuk orang lain. Sekadar peringatan dan perkongsian untuk sama-sama berubah.

Ok lah..ana rasa nak kena sambung buat kerja ni. Asif sahabat-sahabat, rasanya cukuplah dahulu untuk ceritera kali ini. Sebagai penutup bicara, dengarlah…

“ Ingat dan hadamlah bahawa jika semuanya kerana Allah SWT, pasti hati akan redha dan merasai kemanisan serta keindahannya. Kita pasti akan diuji kerana ujianNya adalah untuk hambaNya yang terpilih… Pasti kita mahu menjadi Hamba PilihanNya bukan? Ya Allah, pilihlah kami untuk AgamaMu…” (from my lovely naqibah, Ummu Maisarah)

Sabtu, 14 Februari 2009

Hari Kekasih

Satu jam saja
Ku telah bisa
Cintai kamu dihatiku
Namun bagiku melupakanmu
buntu waktu seumur hidupku

14 februari, tarikh yang selalu membuat hatiku pilu. Setiap kali tiba waktu ini, hatiku terasa sangatlah sedih. Teringatkan si dia yang sebelum ini pernah ku sayangi, ku cintai. Aku sentiasa tersenyum bersamamu. Kaulah teman ku mengadu kesedihan. Kau sahaja yang mampu menggembirakan ku. Bila sehari tak berjumpa, bila sehari tak bermesej rasa rindu sangat. Hatiku sakit jika semua ini tak tertanggung lagi. Kenapa aku amat merasakan kebahagiaan denganmu. Sanggup ku lakukan apa sahaja untukmu. Inikah yang selama ini akan ku dapatkan seperti orang lain? Perasaan cinta, seperti yang orang di sekeliling ku pernah rasakan. Adakah aku sedang alaminya juga? Indahnya hidup ini jika bersamamu sentiasa, tiada perkara yang bermasalah lagi. Aku rasa sangat bahagia, dan aku sentiasa tersenyum sendirian…

Satu jam saja
Sayangi kamu dihatiku
Namun bagiku melupakanmu
buntu waktu ku seumur hidup

14 februari, orang lain juga berperasaan sama sepertiku. Semuanya sibuk melayan perasaan cinta dan sayang bersama pasangan masing-masing. Bukan sahaja gelagat manusia biasa malah juga disokong oleh orang-orang berkuasa lain. Hampir keseluruhannya meraikan dan mengalukan-alukan perasaan seperti ini. Di tepi-tepi jalan ada sahaja yang berlari-lari anak menjual sekuntum bunga yang indah dan harum kepada setiap pasangan. Bila melihat pasangan itu tersenyum maka si penjual juga tersenyum kerana membuat seseorang itu bahagia bersama pasangannya. Deret-deret kedai juga menampal poster-poster jualan istimewa sempena hari kekasih. Tidak ketinggalan juga mereka yang sanggup menempah tempat istimewa dengan harga mahal semata-mata meraikan hari istimewa ini. Galak juga segmen-segmen di televisyen menyiarkan rancangan-rancangan istimewa hari kekasih. Semuanya menyentuh jiwa setiap yang mengalami perasaan ajaib ini. Cinta yang bahagia dan sayang yang selamanya.

14 februari, kenapa semua ini terjadi? Kenapa aku juga merasakan perasaan ini? Kenapa mesti ada hari kekasih? Apa makna kekasih? Pasangan kekasih sesama suami dan isteri? Tidak, aku bukan yang itu. Pasangan kekasih sesama ibu bapa dan anak? Tidak, aku bukan yang itu. Pasangan kekasih sesama lelaki dan perempuan? Tidak, aku bukan yang itu juga. Adakah aku pasti? Habis cintaku untuk siapa? Siapa kekasih untukku? Cintaku dari dulu, hingga kini dan untuk selamanya…

14 februari, aku sedih melihat manusia yang dah pun meraikan hari kekasih ini. Apa yang mereka rasa sehingga sanggup dan tak pernah rasa untuk mengelak dari tarikh ini? Mengikutkan perasaan yang dibuai mimpi dunia, mereka sanggup keluar berdua-duaan, berkongsi senyuman dan kegembiraan sehingga tidak menghiraukan orang di sekeliling. Adakah mereka tidak tahu kisah disebalik tarikh ini? Mereka tahu atau buat-buat tak tahu? Orang lain buat, aku pun nak buat. Tiada yang menghalang sebab semua pun buat. Bagaimana jika yang tahu hanya tidak mempedulikan, dan yang tidak tahu mengambil kesempatan. Sehingga tidak mustahil untuk berlaku maksiat-maksiat depan mata yang berleluasa. Maksiat yang orang katakan perkara biasa, lumrah kehidupan? Duduk berduaan, berpegang tangan, menonton wayang berduaan, makan berkongsi, semua perkara yang dilakukan hanya dalam keadaan berdua. Lelaki yang bukan keluarga kita, perempuan yang bukan keluarga kita, asalkan aku gembira bila bersamanya.

14 februari, sedang aku dalam dilemma cinta dunia, aku terfikir sejenak. Bagaimana aku boleh hidup sampai sekarang? Siapa yang menciptakan aku? Siapa yang memberi aku roh dan jasad untuk terus bernyawa? Dan aku terbayang andai sedang aku berfikir ini, aku telah pun berada dalam nerakaNya. Diseksa dan sakit yang teramat sangat. Atas kesalahanku yang membuat maksiat nyata dan jelas, kerana berdua-duaan sekejap sahaja bersama si dia. Hari itu sahaja dan di saat itu, tapi aku akan sekian lamanya di dalam neraka itu. Aku terdiam sejenak, seperti hanya sesaat, lantas aku mengangis dan lari meninggalkan si dia keseorangan. Pulang ke rumah, mengambil wudhuk, solat dan berdoa…

14 februari,
Ya Allah,
Sesungguhnya aku telah membuat satu dosa yang besar kepadaMu. Engkau marah dan murka kepadaku. Aku tanpa rasa sayang dan cinta kepadaMu, aku melupakanMu. Aku hanya ingatkanMu dalam solatku, hanya ketika aku ditimpa kesusahan, hanya ketika aku betul-betul memerlukanMu. Siapa aku untukMu? Aku tak layak menagih cinta dariMu kerana aku sangat-sangatlah hina. Padaku hanya si dia segalanya, tapi Engkaulah yang segala-galanya. Tanpa Engkau tak mungkin aku hidup sampai ke saat ini, ku bayangkan jika nyawaku di ambil, entah bila-bila masa sahaja, akulah hamba yang paling rugi sekali. Akulah yang paling akan rasa menyesal. Dan akulah yang paling akan rasa terseksa, menanggung dosa yang selama ini ku lakukan dalam tak sedar. Banyak perkara istimewa yang aku boleh buat untukMu semasa hayatku, tapi itu semua hanya tinggal angan-angan. Aku tak berpeluang lagi kerna aku dah pun pergi selamanya…

Tidak……
Ya Allah kembalikan nyawaku. Aku mahu bertaubat. Aku mahu bermula semula mengabdikan diri kepadaMu. Aku mahu menyintaiMu lebih dari segala-galanya. Aku mahu jadi KEKASIHMU… Aku mahu jadi KEKASIHMU… Aku mahu jadi KEKASIHMU…

Begitu sakit ku rasakan
Akan ku pergi tinggalkan mu sendiri
Kasih sayang kamu begitu dalam
Tapi kini ku tak sanggup
Ini terjadi kerna ku sangat CINTA
Inilah saat terakhir ku melihat kamu
Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ku ucapkan
selamat jalan kasih

Akan ku datang pada CINTA
Cinta yang lebih Agung
Kekasih yang lebih Agung
Iaitu CINTA ILAHI
Yang kekal abadi dan bererti…

14 Februari 2009.
11.35 pm.

Menuju Wawasan

Menuju Wawasan